Mahukan kulit yang sihat dan berseri? Anda tidak perlu berbelanja besar dan menghabiskan masa di spa. Hanya dengan beberapa ramuan yang mudah didapati di dapur anda, DIY (do-it-yourself) masker (facial mask) yang kami senaraikan ini mampu memberi kesan yang efektif terhadap kulit anda, malah selamat digunakan tanpa kimia sintetik.

  1. Masker Pisang untuk Kulit Lembut

pisang

Pisang bukan sahaja berkhasiat untuk tubuh badan kita bahkan untuk kulit kita juga. Selain baunya yang wangi, masker pisang ini dapat menghidrasi serta melembutkan kulit.

Ramuan dan cara-caranya:

  • 1/4 cawan yogurt biasa (tanpa perisa)
  • 2 sudu besar madu (baik untuk kulit bermasalah)
  • 1 pisang bersaiz sederhana

Lenyek pisang sehingga betul betul lumat. Tambahkan yogurt dan madu dan kacau sebati. Ratakan di muka dan leher dan biarkan selama 10-20 minit, kemudian basuh muka anda dengan air sejuk.

  1. Masker Cuka Epal untuk Mengecilkan Pori

apple

Cuka epal mempunyai 1001 khasiat dan kegunaan. Selain bagus diamalkan untuk mencegah penyakit, cuka epal juga mampu membersihkan dan mengecilkan liang pori-pori kulit. Untuk menggunakan cuka epal sebagai toner, tambahkan satu sudu cuka epal untuk setiap dua cawan air bersih dan gunakan selepas membasuh muka. Cuka epal juga boleh dibuat masker untuk kesan yang lebih tahan lama.

Ramuan dan cara-caranya:

  • 1/4 cawan cuka epal
  • 1/4 cawan air

Campurkan cuka dengan air dan ratakan di atas muka. Biar kering dan basuh muka dengan air sejuk.

  1. Masker Kunyit untuk Kulit Berseri

kunyit

Kunyit telah lama digunakan oleh pengantin di India untuk mendapatkan kulit yang berseri di hari persandingan. Kunyit mempunyai antioksida yang dapat melambatkan penuaan sel, mengurangkan kedutan dan merawat masalah kulit seperti jerawat dan kulit kering. Pelakon Star Wars, Daisy Ridley, juga menggunakan masker kunyit untuk mengecutkan jerawat di mukanya.

Ramuan dan cara-caranya

  • 2 sudu makan tepung (tepung gandum, beras atau oat boleh digunakan)
  • 1 sudu kecil kunyit
  • 3 sudu makan susu segar atau yogurt
  • beberapa titik madu

Campurkan kesemua bahan. Sapu nipis pada muka dan biarkan kering selama 20 minit. Bilas bersih. Masker ini tidak akan meninggalkan kesan di muka jika dipakai nipis.

  1. Masker Susu dan Avokado untuk Kulit Lembut

susu

Susu telah digunakan dalam ritual kecantikan sejak zaman Cleopatra lagi untuk mendaatkan kulit lembut dan mulus bak bayi. Penggunaan susu terutamanya susu yang belum diproses dipercayai dapat mengurangkan jerawat, melembabkan dan melembutkan kulit.

Ramuan dan cara-caranya

  • ¼ avokado masak
  • 1 sudu makan susu

Lenyekkan avokado sehingga lumat dan tidak berketul. Tambahkan susu dan gaul hingga sebati. Sapukan di muka dan biarkan sehingga 10-15 minit. Lap dengan tuala basah hangat atau bersihkan dengan air suam untuk menanggalkan masker. Kemudian, bilas muka dengan air sejuk.

  1. Masker Putih Telur untuk Kulit Bersih

white egg

Putih telur bukan sahaja kaya dengan nutrisi untuk tubuh badan kita, malah dapat membantu membersih dan mengecilkan liang pori pori di muka. Putih telur juga dikatakan mampu mengurangkan sebum berlebihan terutama untuk kulit berminyak.

Ramuan dan cara-caranya

  • Putih telur dari 1 biji telur
  • 1 sudu the jus lemon
  • 1 sudu the madu

Pukul putih telur dan jus lemon sehingga berbusa. Tambahkan madu dan kacau sebati. Basuh muka anda dengan air suam untuk membuka pori. Sapu campuran putih telur, jus lemon dan madu ke muka dengan bebola kapas. Biar kering selama 10-15 minit. Apabila masker sudah kering, tanggalkan dengan lembut menggunakan air suam. Campuran masker ini mempunyai jus lemon, jadi jangan pakai masker ini di bawah sinaran matahari dan basuh bersih muka dan tangan anda selepas memakai masker ini untuk mengelakkan reaksi fotosensitiviti (kulit mudah terbakar di bawah sinaran matahari).

Selamat mencuba!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *