s-clip-art-letter-s-md.pngeiring teknologi dan gaya hidup yang lebih moden membuatkan manusia hari ini menjalani kehidupan lebih canggih serta serba ringkas.

Perkembangan ini menyebabkan wujudnya pelbagai restoran makanan segera bagi memenuhi keinginan masyarakat.

Apatah lagi ramai ibu masa kini yang bekerja bagi menampung keperluan hidup. Perkara ini secara tidak langsung mengubah cara pemakanan anak dan seisi keluarga apabila ibu bapa tidak sempat menyiapkan makanan berkhasiat di rumah.

Cara paling mudah dengan membawa keluarga makan di restoran makanan segera yang menyediakan juadah ringan, tapi dianggap menyelerakan.

KAJIAN AWAL

Merujuk laman Dailymail, saintis mengatakan mereka menemui makanan yang diproses seperti burger dan makanan yang sudah siap adalah berbahaya seterusnya membuka jalan ke arah makanan ringan yang tidak menyihatkan.

Mereka turut mengenal pasti molekul bakteria merosakkan yang tidak dapat dikesan di dalam makanan segar, tetapi ia banyak terdapat dalam makanan ringan dan makanan siap proses seperti sayur-sayuran yang sudah siap dicincang, sos pasta dan sandwic.

Ini menunjukkan bakteria membesar ketika proses penghasilan, ketika makanan itu dicincang dan dibekukan.

CORAK MOLEKUL PATOGEN-BERSEKUTU

Molekul yang dikenali sebagai ‘corak molekul patogen-bersekutu’ (PAMP) mampu meningkatkan risiko keadaan seperti penyakit arteri koronari dan diabetes tahap dua.

Ia juga boleh menyebabkan sistem imun seseorang itu bertindak balas secara keterlaluan hingga merosakkan kesihatan.

Menurut penyelidik, pengurangan lilitan pinggang dan bilangan sel putih dari diet PAMP yang rendah berkemampuan mengurangkan risiko seseorang mendapat diabetes tahap dua lebih dari 15 peratus.

Mereka kini berharap menemui cara mengeluarkan PAMP dengan menjadikan makanan lebih sihat tanpa mengubah rasa atau kos.

“Kita sudah maklum, pengambilan makanan diproses yang kerap, terutama daging diproses banyak dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidapi pelbagai penyakit, termasuk kardiovaskular, diabetes tahap dua dan obesiti,” kata ketua penyelidik dari Universiti Leicester, England, Dr Clett Erridge.

Dr Erridge dan pasukannya kini menemui mekanisme yang membolehkan makanan diproses meningkatkan risiko mendapat penyakit terbabit.

Mereka dapati, pencemaran molekul wujud dalam makanan yang diproses akibat pertumbuhan yang terlalu cepat dari sejenis bakteria ketika proses penyejukan atau pembuatan makanan.

SISTEM IMUN BADAN BERTINDAK KETERLALUAN

“Ia boleh menyebabkan sistem imun seseorang bertindak keterlaluan dengan cara merosakkan kesihatan apabila kita memakan makanan yang mengandungi molekul ini,” ujarnya.

Dr Erridge dan pasukannya menguji sukarelawan menerusi diet rendah PAMP selama seminggu dan mendapati ia mempunyai kesan yang jauh lebih bermanfaat pada kesihatan mereka.

Pertama, bilangan sel darah putih sukarelawan berkurangan sebanyak 11 peratus.

Jumlah sel darah putih yang tinggi menunjukkan wujudnya masalah lain seperti jangkitan, tekanan, keradangan, trauma, alergi atau penyakit tertentu.

KOLESTROL BURUK BOLEH TERBENTUK

Di samping itu, tahap kolesterol ‘buruk’ lipoprotein pekatan rendah (LDL) dikurangkan sebanyak 18 peratus.

Jika dikekalkan, pengurangan bakal menyamai dengan merendahkan risiko penyakit arteri koronari sebanyak lebih daripada 40 peratus.

Sukarelawan juga mengalami penurunan berat badan secara purata 0.6 kilogram dan 1.5 sentimeter dari sekitar pinggang mereka.

Tambah penyelidik, pengurangan lilitan pinggang dan bilangan sel putih adalah bersamaan untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes tahap dua sebanyak lebih daripada 15 peratus.

MAKANAN YANG DIPERKAYA DENGAN PAMP

Apabila sukarelawan yang sama diberi makan makanan yang diperkaya PAMP, perubahan bermanfaat berlaku sebaliknya yang menonjolkan molekul itu tidak elok untuk kesihatan.

Penyelidik percaya, kaedah baru mengesan PAMP mampu diguna pakai pengeluar makanan.

Ia sekali gus membolehkan mereka mengenal pasti kewujudan molekul PAMP ketika dalam proses penghasilan, contohnya mesin atau bahan-bahan mentah yang mengandungi molekul itu.

“Kami turut mendapati, sesetengah makanan yang diproses tidak mengandungi molekul ini dan kami mencadangkan perlunya pengeluaran ke atas mana-mana makanan semasa yang hampir sama caranya untuk merendahkan kandungan molekul PAMP berbahaya itu.

“Kaedah kami juga boleh digunakan untuk memantau kemajuan dalam usaha untuk membersihkan proses pengeluaran,” katanya.

Tambah beliau, mengasingkan molekul daripada makanan akan membuatkan makanan lebih sihat tanpa mengubah rasa, tekstur, kos atau kandungan bahan.

Kajian ini diterbitkan dalam jurnal Nutrition, Metabolisme dan Penyakit Kardiovaskular.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *